Sunday, October 19, 2008

Pilihanraya Kampus


Pilihanraya kampus datang lagi. Saban tahun, corak permainan politik yang sama dimainkan... politik perpecahan. Sampai bila mahasiswa kita hendak mengikut rentak tuan-tuan di luar kampus? Jika politik nasional menuju kematangan pasca pilihanraya umum 1999, politik kampus masih dilihat tidak ubah seperti politik kebudak-budakan.

Tidak dinafikan di gelanggang inilah mahasiswa kita belajar erti politik. Namun, selagi mana jiwa mereka dikongkong oleh persepsi yang negatif oleh pihak-pihak tertentu, selagi itulah negara akan terus melahirkan seorang ahli politik setengah masak. Apakah ahli politik setengah masak? Merekalah ahli politik yang meletakkan dasar perjuangan parti melebihi aqidah atau satu matlamat luhur yang lebih universal.

Dikatakan universiti adalah institusi untuk anak-anak kita belajar berfikir. Tetapi sebaliknya, universiti kini menjadi tempat menyuburkan ikutan, fahaman, idealisme tanpa membuka ruang kepada warganya untuk memilih berdasarkan kewarasan aqal dan panduan iman.